Kaum Kadazan-Dusun merupakan nama kaum bumiputera asli yang terbesar di Sabah. Salah satu teori mengatakan kaum ini asalnya dari suku
Bunun di Taiwan. Kaum etnik Kadazan-Dusun ini menggunakan pelbagai bahasa dan
dialek dengan pelbagai kebudayaan dan adat resam tradisional. Terdapat 27 suku
kaum di dalamnya. Antaranya ialah Dusun Liwan, Dusun Tindal, Dusun Pahu, Dusun Lotud, Bagahak, Dusun Labuk, Dusun
Kimaragang, Tagahas, Tangara, Dusun, Rungus, Orang Sungai, Kuijau, Tambanuo, dan sebagainya.
Pada mulanya Tun Fuad Stephens, Huguan Siou (Pemimpin
Agung) pertama Kadazan, mencadangkan istilah Kadazan digunakan bagi menyatukan
14 suku kaum yang berkongsi kumpulan bahasa bagi memberikan mereka suara yang
lebih besar. Ini dipersetujui oleh ramai, tetapi sesetengah orang Dusun mahukan
atonomi lebih besar, dengan itu istilah Kadazan-Dusun dipilih sebagai
tolak-ansur.
Kumpulan etnik yang
terbesar adalah suku kaum Dusun yang merupakan satu pertiga dari penduduk
Sabah. Suku kaum Dusun yang tinggal di pantai barat seperti Penampang, Papar,
Tuaran, Kiulu, Tamparuli, Tenghilan, Kota Belud dan juga di lembah bukit di
Ranau, Tambunan, dan Keningau adalah petani tradisi yang menanam padi sawah dan
huma. Sesetengah dari mereka memburu serta menangkap ikan sungai. Mereka
kebanyakan bertempat di sekelilingi kawasan lembah pantai barat dan kawasan
pendalaman.
Lazimnya masyarakat
daripada subetnik yang disebut di atas adalah berasal (mendiami) daripada
kawasan-kawasan (daerah) tertentu umpamanya Kimaragang di daerah Kota Marudu,
Lotud di daerah Tuaran, Orang Sungai
di daerah Kinabatangan, Sugut, Paitan dan Pitas. Kebanyakan orang Kadazan-Dusun
menganuti agama Kristian. Bagi Orang Sungai yang tinggal
di daerah Pitas, mereka menganut agama Islam manakala daerah-daerah lain
seperti Kinabatangan (Tongod) dan Paitan, Orang Sungai beragama Islam dan
Kristian. Masyarakat Lotud (Suang Lotud) turut mendiami kawasan Pantai Barat
Selatan negeri Sabah terutamanya Tuaran, Tamparuli, Telipok dan dan sedikit di
Kota Belud (Tempasuk). Mereka hidup secara kolektif dengan mendiami rumah
panjang yang mengumpulkan beberapa keluarga, iaitu antara 150 - 200 orang.
Walau bagaimanapun, pada masa kini, rumah panjang jarang dilihat dalam etnik
ini. Kebanyakannya telah mengalami pembangunan fizikal dan mental.
Istilah Kadazan-Dusun
ini wujud dari hasil penggabungan etnik Kadazan dan Dusun serta beberapa etnik kecil lain. Penggabungan ini adalah
akibat pertelingkahan politik. Lagipun, perbezaan antara kaum Kadazan dan Dusun
tidaklah begitu berbeza dan kasar.Beza antara bahasa Kadazan dan Dusun ialah
seperti bahasa Malaysia dan bahasa Indonesia.
Asal-usul nama ‘Sabah’
dipercayai berasal daripada sejenis tanaman iaitu pisang yang dikenali sebagai pisang
saba iaitu sejenis buah pisang yang dipanggil "SABBAH " atau "SAPPAH"
oleh masyarakat Bajau yang sangat popular dibuat pisang goreng. Pisang ini
banyak ditanam di sepanjang pantai barat Sabah sebagai sumber makanan. 'Pisang saba' juga dikenali sebagai
'jaba' oleh masyarakat Bajau di negeri tersebut. Kini 'pisang saba' lebih dikenali
sebagai pisang menurun.
Nama 'Sabah' pertama kali digunakan pada abad ke-15 oleh para
pedagang yang mengembara di antara Kepulauan Borneo Utara hingga ke kepulauan
Sulu di Selatan Filipina. Kesimpulannya nama 'Sabah' telah pun digunakan sejak
sebelum kedatangan Syarikat Berpiagam Borneo Utara dan British
lagi. Dalam peta Portugis Melaka 1604, Kota Kinabalu disebut sebagai Api-Api.
Setelah negeri Sabah diambil alih oleh Syarikat Berpiagam Borneo
Utara, nama 'Sabah' telah ditukar kepada 'Borneo Utara'
secara rasmi pada tahun 1881. Walau bagaimanapun, nama 'Sabah' kembali
digunakan pada tahun 1963 selepas negeri tersebut menyertai Malaysia.
Catatan puisi Jawa Nagarakertagama yang dikarang oleh Prapancha
pada tahun 1365 menyebut Sabah sebagai 'Seludang'. Dalam catatan Marco Polo
sewaktu beliau singgah di Borneo, Sabah ketika itu dikenali sebagai
"BURNI" yang mungkin merujuk kepada Brunei.
Sebelum abad ke-16, Sabah tidak mempunyai pemerintahan beraja
menyebabkan system pemerintahan di Sabah terbahagi kepada tiga iaitu sistem
politik kesukuan, sistem politik kesultanan dan sistem politik ketua babas.
Pada waktu sebelum abad ke-6, kawasan yang kini dikenali sebagai
Sabah, Brunei dan Sarawak adalah berpusat pada kerajaan Brunei dan
kerajaan Brunei juga merupakan pusat perdagangan dengan China. Wilayah ini
sebaliknya dipengaruhi oleh dua kuasa besar pada waktu itu, iaitu Srivijaya
di Sumatra dan kemudian Majapahit di Jawa.
Bagaimanapun, pada awal abad ke-15, Empayar Melaka di bawah
pemerintahan Parameswara telah menyebarkan pengaruhnya dan seterusnya
mengambil alih perdagangan Brunei. Perubahan ini menyebabkan agama Islam tersebar di wilayah
Brunei oleh pedagangnya pada akhir abad ke-15. Kejatuhan Melaka ke tangan Portugis
pada tahun 1511 telah menyebabkan Sultan Brunei mengambil alih kepimpinan Islam
dari Melaka. Semasa pemerintahan Sultan Bolkiah,
kerajaan Brunei telah memperluaskan pengaruhnya ke utara sehingga ke Luzon dan Sulu serta di sebelah
selatan dan barat Borneo. Kecuali dari Eropah, pendatang asing yang berurusan
dengan Sabah (Borneo Utara) tidak meninggalkan sebarang rekod bertulis tentang
kegiatan mereka di kawasan ini. Penduduk tempatan juga tidak memiliki sebarang
rekod bertulis kecuali sejarah dan tradisi lisan mereka.
Pada 600 tahun masihi, orang-orang Cina telah datang untuk
membuat perdagangan dan hubungan diplomatik dengan Borneo Utara. Rekod Sejarah
Brunei (Brunei Annals) telah merakamkan tentang penempatan mereka di kawasan Kinabatangan.
Bukti-bukti Arkeologi iaitu seramik yang ditemui di Borneo Utara menunjukkan bahawa
orang-orang Cina ada menjalankan perdagangan secara bertukar barang, antara
seramik orang-orang Cina dengan rempah ratus dari penduduk tempatan.
No comments:
Post a Comment